[VIDEO] Nyawa di hujung tanduk, 2 singa jantan bertarung depan mata sampai remuk Toyota Yaris


  • Benua
  • Ahad, 12 Feb 2023

Tangkap layar memaparkan dua ekor singa sedang bergaduh sebelum salah seekor daripada mereka merempuh kereta Yaris di sebuah taman safari di Indonesia pada Sabtu. — Agensi

MALANG tidak berbau, mungkin itu simpulan bahasa yang sesuai diungkapkan pada seorang pemandu kenderaan jenis Toyota Yaris apabila keretanya secara tidak sengaja 'dilanggar' seekor singa ketika berkunjung ke salah sebuah taman safari di Jawa Timur, Indonesia pada Sabtu.

Memetik laporan media antarabangsa Yoursay.id, kejadian tersebut berlaku di Taman Safari Pigen, Jawa Timur.

Melalui video yang dimuat naik di akaun TikTok @youkopi107 memaparkan dua singa sedang bergaduh sebelum salah seekor daripada haiwan ganas tersebut merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Ketika kejadian, kereta Yaris berwarna merah itu sedang menunggu giliran untuk bergerak dalam kawasan taman tersebut.

Impak kuat daripada rempuhan singa itu menyebabkan lampu belakang sebelah kiri pecah dan bahagian sisinya juga remuk.

Selepas merempuh kereta merah itu, kedua-dua ekor singa itu dilihat berkerumun seketika sebelum berkejar-kejaran semula.

Kejadian itu boleh mengejutkan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Seorang warganet, @snorlaxzs turut memuat naik semula video tersebut di Twitter sehingga menjadi trending dan viral di media sosial.

"Singa bergaduh, Yaris merah yang menjadi mangsa," ciapnya.

Setakat berita ini ditulis, video tersebut mendapat tanda suka sebanyak 32,000 dan diulang kicau lebih 10,000 kali.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan taman safari tersebut setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram