Tiga wanita termasuk 2 beradik dijemput ajal, Myvi terbabas sebelum bertembung treler muatan sawit di Rompin


  • 112
  • Ahad, 12 Feb 2023

Keadaan kereta Perodua Myvi yang dinaiki mangsa remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan treler membawa muatan sawit di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, Rompin pada Sabtu malam. — Bomba Pahang

TIGA wanita termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan treler membawa muatan sawit di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, Rompin, Kuantan, Pahang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata kemalangan pada 10.51 malam itu menyebabkan semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mereka ialah pemandu kereta Suhada Ramli, 22, kakaknya Nazira, 23, yang duduk di bahagian penumpang hadapan serta rakan mereka Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22, dengan semuanya beralamat di Felda Selendang 1, Rompin, Pahang.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki mangsa dari arah Muadzam Shah ke Rompin terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan treler, menyebabkan kereta itu remuk sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Mohd Azahari berkata, mayat dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat manakala kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram