PASUKAN penyelamat negara MAS-01 SMART berjaya menyelamatkan lima mangsa gempa bumi di kawasan runtuhan bangunan kediaman enam di Nurdagi, Turkiye pada pukul 2.20 petang waktu tempatan pada Sabtu bersamaan pukul 7.20 malam waktu Malaysia.
Komander Kontinjen MAS-01 SMART, Mohd Khairul Jamil berkata, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada dua wanita, seorang lelaki dewasa serta masing-masing seorang remaja lelaki dan perempuan.
"Pasukan itu bergerak ke lokasi berkenaan yang terletak kira-kira 1.3 kilometer dari Stadium Nurdagi, Turkiye yang menempatkan kem pasukan pada pukul 11 pagi bersamaan 4 petang waktu Malaysia dan berjaya mengesan lima mangsa terbabit pada 1 tengah hari bersamaan 6 petang waktu Malaysia menggunakan peralatan khas,” katanya.
Beliau berkata, MAS-01 SMART kini berusaha mengesan seorang bayi dan pihaknya juga telah menggerakkan pasukan kedua untuk ke lokasi sama bagi melakukan pencarian.
Katanya, mangsa diserahkan kepada anggota paramedik tempatan bagi tindakan lanjut. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram