Doa segera ditemukan walau sudah tak bernyawa, ibu sedar perubahan sikap anak bongsu sebelum lemas dalam longkang Ukay Perdana


  • 112
  • Ahad, 12 Feb 2023

Anggota bomba berjaya menemui mayat Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan yang lemas longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

IBU kepada kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana di ibu negara pada Sabtu berharap anaknya ditemukan segera.

"Saya berdoa kepada Tuhan agar anak bongsu segera ditemukan walaupun sudah tidak bernyawa,” kata Nuraini Ibrahim di lokasi pencarian Muhammad Riqullah Mohd Shafie, 10, di Kampung Kemensah, Ulu Kelang, Kuala Lumpur pada Ahad.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia sempat berbual dengan Muhammad Riqullah pada Jumaat lepas sebelum kanak-kanak itu pergi ke sekolah pada sesi petang menaiki van dan perasan anaknya kerap diam kebelakangan ini.

"Muhammad Riqullah sempat mengajak saya dan sekeluarga untuk pergi bercuti namun saya tidak dapat tunaikan permintaannya itu. Dia memang suka kalau kami pergi berjalan-jalan sebelum ini,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat Muhammad Riqullah yang memasuki hari kedua bermula pukul 8 pagi Ahad dengan tumpuan di sekitar kawasan kanak-kanak itu dipercayai terjatuh sehingga ke kawasan tebing Sungai Kemensah.

Kejadian dipercayai berlaku ketika Muhammad Riqullah bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan, 8, sedang bermain air di kawasan longkang terbabit sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus.

Mayat Wan Muhammad Ammar sudah ditemukan lemas petang Sabtu dipercayai hanyut dalam longkang berkenaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram