Siswa-siswi kini bebas kritik PM dan kerajaan - Anwar


  • Primer
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak KPT memberi ruang buat mahasiswa memberikan kritikan kepada kerajaan. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membuka ruang kepada pelajar dan kakitangan memberi pandangan masing-masing secara terbuka.

Perkara itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

"Mereka sudah membuka ruang, terutama Menteri Pendidikan Tinggi supaya universiti lebih segar dalam memberikan pandangan," kata perdana menteri.

Katanya, ruang memberi pandangan itu bagaimanapun tidak termasuk dalam hal yang mencerca atau isu perkauman serta fahaman agama yang melampau.

"Selain itu, teguran dan kritikan terhadap Perdana Menteri ataupun kerajaan juga diberikan kebebasan," katanya selepas majlis penyampaian bantuan pelajar antarabangsa oleh Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman (Aisf) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuala Lumpur pada Sabtu.

Namun, kritikan itu bagaimanapun mestilah disertai dengan fakta dan kefahaman serta tidak menghina mana-mana pihak.

Tambahnya, kebebasan yang diberikan pasti akan disalah guna oleh sesetengah pihak namun beliau telah meletakkan syarat dengan setiap teguran harus mempunyai merit dan berilmu.

Beliau berkata, antara kegagalan ummah masa kini adalah kegagalan mendidik dan membina ummah yang memimpin sebaliknya kebanyakan masyarakat kini hanyalah mengikut kehendak dan tidak bersuara.

"Kekurangan minda kritikal, kekurangan kefahaman hanya akan menghasilkan ramai golongan yang bersifat pengikut yang gagal menimbang situasi dan kurang berdaya kreatif," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram