PERSATUAN Hotel Melaka (MAH) mengakui terdapat kes tetamu meminta bayaran balik bagi tempahan yang dibuat selepas didakwa terlihat figura berupa hantu di dalam bilik mereka.
Exco MAH bahagian Melaka, Sazali Sabri berkata, beberapa hotel terpaksa berdepan masalah seperti itu apabila tetamu menuntut bayaran balik selepas mendakwa mereka terjumpa sesuatu yang luar biasa dan tidak dijangka semasa menginap.
“Bagaimanapun, tiada bukti dinyatakan mengenai dakwaan tersebut.
"Sesetengah tetamu yang menempah bilik selama lebih dari sehari membuat alasan sedemikian apabila mereka berjaya mendapatkan tempat penginapan yang lebih dekat dengan ikon pelancongan di pusat bandar," katanya pada Sabtu.
Sazali berkata, kes seumpama itu kebanyakannya dilaporkan di hotel yang terletak jauh dari pusat bandar dan berlaku pada musim puncak.
Beliau mengulas mengenai kes di mana segelintir tetamu kecewa apabila mereka tidak mendapat bayaran balik daripada pengurusan hotel kerana mendakwa bertemu hantu.
Sazali berkata, dalam kebanyakan kes, tetamu akan mendakwa mengalami sesuatu yang luar biasa apabila mereka mendapat tempat penginapan lain yang lebih dekat dengan bandar Melaka, terutamanya semasa cuti panjang.
Beliau berkata, urusan pembayaran balik bergantung kepada budi bicara pihak pengurusan hotel bagi kes seumpama itu.
"Mekanisme bayaran balik adalah mudah jika tetamu mengadu tentang masalah teknikal seperti penghawa dingin tidak berfungsi atau kebersihan bilik," katanya.
Tambahnya, tetamu juga harus memahami kesusahan yang dihadapi oleh pihak hotel apabila tempahan dibuat lebih daripada sehari.
"Pesanan bilik akan diambil berdasarkan tempahan dan ia akan mula dibuka semula untuk pengunjung pada pukul sebelas pagi," katanya.
Sementara itu, Sazali berkata, hotel miliknya iaitu Hotel MITC telah menerima pakai inisiatif Menu Rahmah RM5 di Kafe Asahan yang diuruskan oleh pasukannya di jeti Taman Rempah River Cruise, Melaka.
Tambahnya, menu tersebut mengandungi minuman dan pilihan nasi lemak atau nasi goreng Cina. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram