PEMILIK kenderaan persendirian kini tidak lagi perlu memaparkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau ‘roadtax’ dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian secara fizikal.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Jumaat dengan inisiatif tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal bagi rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menerusi kenyataan memaklumkan, individu kenderaan persendirian hanya perlu menunjukkan lesen kenderaan motor atau lesen memandu melalui aplikasi tanpa menunjukkan dokumen fizikal.
"JSPT melalui peralatan MCOPS boleh melakukan semakan integrasi dengan sistem mySikap JPJ atau paparan kod QR semakan nombor kenderaan dan nombor pengenalan.
"Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MyJPJ melalui App Store, Play Store, Huawei App Gallery dan portal JPJ," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, inisiatif yang telah diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pengangkutan dan JPJ itu disambut baik pihaknya.
"Kaedah pendigitalan ini sekali gus dapat meringankan kesulitan orang ramai semasa berurusan di kaunter," katanya.
Warganegara kini boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam JPJ atau aplikasi telefon pintar MyJPJ yang dilaksanakan di bawah satu projek perintis secara dalaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram