Sindiket kuota tiket umrah: Enam termasuk pengarah dan staf syarikat pelancongan ditahan SPRM


  • 112
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Enam individu terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan melibatkan enam buah syarikat ditahan SPRM, di Mahkamah Majistret, Putrajaya.

ENAM individu ditahan selepas sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisyen.

Difahamkan, sindiket itu akan meminta rasuah dalam bentuk komisen bagi memperuntukkan bilangan kerusi kepada syarikat-syarikat tersebut.

Enam individu terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan melibatkan enam buah syarikat ditahan SPRM dalam operasi khas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Suspek berusia antara 34 dan 55 tahun itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada Khamis.

Mereka dihadapkan ke Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, yang membenarkan suspek direman empat hari sehingga 13 Februari.

Menurut sumber, sebuah syarikat terbabit dilantik oleh sebuah syarikat penerbangan antarabangsa sebagai agen tunggal untuk mengurus dan mengagihkan kuota tempat duduk bagi setiap penerbangan mengerjakan umrah.

Difahamkan, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengenakan “bayaran” antara RM50 dan RM250 bagi setiap kuota tiket umrah.

“Bayaran ini (kononnya) jaminan kepada agensi yang menyediakan perkhidmatan umrah untuk tempat duduk dalam penerbangan.

“Penyiasat percaya aktiviti sindiket itu bermula pada 2018 dan sebanyak 216,000 tiket telah diedarkan melibatkan pembayaran rasuah sekurang-kurangnya RM10.8 juta,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menjelaskan bahawa dijangka akan lebih ramai ditangkap bagi membantu siasatan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram