"SAYA cakap sahaja kucing dah mati kena penyakit sporo."
Itulah alasan diberikan seorang pengguna Twitter apabila ditanya orang mengenai kucing yang sudah menjadi mangsa haiwan eksotik perliharaannya iaitu ular.
Sebelum ini, kecoh di media sosial satu posting beberapa individu membela ular memohon kepada orang ramai agar diberikan anak kucing untuk dijadikan santapan haiwan belaan mereka itu.
Individu-individu tak berhati perut ini tanpa rasa kasihan menceritakan rasa teruja melihat kucing berkenaan dibunuh oleh haiwan reptilia tersebut.
"Moment bila bunyi meowing itu fading during kena sambar itu is something amazing and the sound of the bones cracking," ciapnya di Twitter.
Ciapan individu terbabit di Twitter.
Ternyata luahan secara terang-terangan individu seperti ini nyata mengundang perasaan tidak selesa dan marah orang ramai lagi-lagi pencinta kucing.
Menceritakan semula pengalaman pahit yang dialaminya, Penyelamat Kucing, Norazian Abdul Aziz berkongsi kisah pernah menjadi mangsa penipuan individu-individu seperti ini yang mengambil kucing untuk dijadikan makanan haiwan reptilia itu.
"Saya adalah penyelamat untuk kucing terbiar dan selalu buka adoption untuk kucing-kucing ini selepas dirawat.
"Satu hari anak saya bagitahu dekat tempat kerja ada seekor kucing baru melahirkan tujuh ekor anak dan dia selalu bagi makan sehingga mereka dah boleh mula berjalan.
"Jadi dia minta tolong saya untuk selamatkan kucing itu dan saya pun bawa balik tapi pada masa yang sama saya open untuk adoption di Facebook," katanya pada Majoriti.
Norazian berkata, tiba-tiba salah seorang pengguna media sosial mesej dia dan berminat untuk mengambil kesemua anak kucing itu dengan segera.
"Ada seorang individu ini mesej saya, dia nak bela semua anak-anak kucing dan tak nak bawa ibu dia sekali.
"Jadi saya tegaskan kena ambil ibu sekali kalau tak nanti timbul masalah dekat anak-anak kucing itu.
"Dia sanggup datang dari Sepang tengah-tengah malam ke Semenyih untuk ambil kucing-kucing itu semua," ujarnya.
Namun selepas beberapa hari mengambil kucing, Norizan mesej individu terbabit untuk menanyakan khabar tentang haiwan itu namun jawapan diperoleh sangat mencurigakan.
"Selepas dia ambil semua kucing, selepas dua hari itu saya mesej tanya khabar dan minta gambar kucing-kucing itu.
"Tapi saya dapat jawapan yang sangat pelik dan mendukacitakan daripada individu tersebut.
"Dia bagitahu saya semua anak-anak kucing dah mati dan ibunya lari daripada rumah," jelasnya.
Ular dipercayai milik individu yang mengambil kucing daripada Norazian.
Selepas mendapat jawapan yang mencurigakan, Norazian kembali menyemak profil individu terbabit di Facebook dan menjumpai sesuatu.
"Saya cuba cari Facebook individu itu, lepas itu baru saya nampak dia ada bela ular jenis Phython warna kuning dan beberapa lagi.
"Dia juga siap memuat naik kapsyen, memang sedang mencari kucing-kucing untuk bela dan dijadikan makanan ular-ular itu.
"Saya sedih sangat fikir kucing-kucing itu semua comel tapi mati macam itu sahaja," luahnya.
Sejak daripada kejadian itu, Norazian trauma dengan apa yang terjadi dan bertindak keluar daripada semua grup pencinta kucing.
"Saya dah tak sanggup tengok kekejaman pada haiwan ini, jadi saya keluar dari semua grup-grup kucing.
"Saya harap individu-individu terlibat dalam kegiatan seperti ini akan dikenakan tindakan yang setimpal.
"Kini saya hanya buat operasi menyelamatkan kucing secara kecil-kecilan dan kawan-kawan rapat," katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan menerima aduan berhubung tindakan seorang lelaki di Twitter yang mencari anak kucing untuk dijadikan makanan kepada ular peliharaannya.
Ketua Pengarah JPV, Dr Akma Ngah Hamid dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan itu dan ia dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan.
“Saya ambil maklum. Aduan juga diterima melalui emel jabatan dan dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan. Sekiranya ada aduan melibatkan kebajikan haiwan, mohon membuat aduan terus melalui sistem MyAnimalWelfare,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram