KEGEMBIRAAN sekumpulan remaja lelaki bertukar tragedi apabila seorang rakan mereka yang juga remaja Orang Kurang Upaya (OKU) lembam lemas, ketika mandi di Sungai Kombat, Felda Perasu, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata, mangsa Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, bersama rakan-rakannya ke lokasi kejadian pada 4.30 petang.
"Kejadian berlaku apabila mangsa bersama rakannya yang hanya dikenali sebagai Amir dihanyutkan ke tempat yang lebih dalam.
"Dua rakan lain berjaya menarik Amir naik ke tebing namun percubaan menyelamatkan mangsa menggunakan sebatang kayu tidak berjaya kerana kayu tersebut patah sebelum Muhammad Fakhrul tenggelam,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Sik berkata, mangsa kemudian ditemukan timbul, namun tidak sedarkan diri.
"Mangsa diberi bantuan awal pernafasan (CPR) oleh rakan-rakannya tetapi gagal. Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Peras dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat lemas,” katanya.
Sik berkata, berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi, tidak terdapat unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram