Nazri Aziz dilantik Duta Malaysia ke AS


  • Primer
  • Khamis, 09 Feb 2023

Nazri sebelum ini enggan dilantik sebagai duta ke Switzerland kerana perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

BEKAS Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), kata Wisma Putra.

Kementerian Luar Negeri berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah pun menyampaikan surat tauliah kepada Nazri dan sembilan lagi ketua perwakilan diplomatik baharu semasa istiadat rasmi di Istana Negara pada Khamis.

Sejak tahun lalu, spekulasi bertiup kencang bahawa Nazri akan dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland atau AS.

Nazri sebelum ini dilapor berkata, beliau enggan menjadi Duta Besar ke Switzerland, kerana beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen terlebih dahulu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau tidak mempertahankan kerusi Padang Rengas.

Sementara itu, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Syed Md menyertai Kementerian Luar Negeri pada 1994 dan sebelum ini berkhidmat sebagai wakil tetap Malaysia ke AS di New York sejak 2019.

Beliau juga merupakan bekas duta Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari tahun 2017 hingga 2019.

Sementara itu, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony turut dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Filipina.

Abdul Malik sebelum ini merupakan Duta Malaysia ke Itali sejak 2018.

Hendy Assan, yang juga bekas Duta ke Uzbekistan dilantik sebagai duta Malaysia ke Holy See, Rom.

Sementara itu, Hafizah Abdullah pula dilantik sebagai duta Malaysia ke Sweden.

Pada masa sama, Gloria Corina Peter Tiwet dilantik sebagai duta ke Brazil, manakala Suzilah Mohd Sidek dilantik duta ke Republik Czech.

Amarjit Singh dilantik sebagai Duta ke Timor-Leste dan Alauddin Mohd Nor dilantik sebagai duta ke Kuwait.

Ruzaimi Mohamad dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya.

Istiadat di Istana Negara pada Khamis dihadiri Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala), Datuk Norman Muhammad. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram