Vaksin Covid-19: KJ sangkal kenyataan Anwar


  • Primer
  • Rabu, 08 Feb 2023

Khairy Jamaluddin menafikan dakwan Anwar Ibrahim yang menyatakan perolehan vaksin Covid-19 tidak mendapat kelulusan. — Bernama

SEMUA perolehan vaksin Covid-19 diluluskan Putrajaya dan disahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat perkara itu, kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Khairy juga berkata, perolehan vaksin Covid-19 telah mengambil kira pandangan semua agensi kerajaan.

“Semua perolehan vaksin dibuat dengan kelulusan Kabinet dan Perbendaharaan dengan mengambil kira pandangan daripada semua agensi.

“Perolehan adalah wajar. Ini disahkan oleh PAC yang menyiasat perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Khairy yakin dapat menjawab soalan ahli Parlimen apabila Kertas Putih dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

"Sudah tentu," kata Khairy ringkas apabila ditanya.

Terdahulu pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa bahagian dalam perolehan vaksin Covid-19 telah ditandatangani oleh menteri berkaitan tanpa kelulusan atau persetujuan Peguam Negara.

Anwar berkata, ini adalah antara penemuan yang dijalankan dalam Kertas Putih yang akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Semasa pandemik itu, dua menteri telah ditugaskan untuk menjaga hal-hal berkaitan wabak Covid-19 serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Datuk Seri Dr Adham Baba adalah Menteri Kesihatan ketika itu dari 2020 hingga Ogos 2021 dan Khairy pula adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021, Khairy mengambil alih jawatan Menteri Kesihatan, bertukar portfolio bersama Adham menjadi Menteri sains, Teknologi dan Inovasi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram