MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas seorang lelaki atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap adik tirinya pada 2018.
Hakim, Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman berkenaan selepas lelaki berumur 23 tahun itu mengaku bersalah terhadap kesalahan itu yang dilakukan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ketika kejadian.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pangsa, Jalan Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada pukul 2 petang, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Tasnim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 15 November 2021 dan mengikuti sesi kaunseling di dalam penjara selain berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman.
Mengikut fakta kes, pada awal November 2021, semasa mangsa bersama ibunya di rumah, wanita itu berpesan kepada mangsa untuk tidak membenarkan orang lain memegang di tempat yang tidak sepatutnya seperti buah dada serta kemaluan.
Kanak-kanak itu kemudian diam lalu menangis dan menyatakan bahawa abang serta bapanya ada melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap mangsa semasa ibunya tiada di rumah, namun tidak memberitahu sesiapa kerana takut.
Semasa rayuan terhadap hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap perlu menyara dua adiknya berumur 20 dan 18 tahun yang masih belajar.
Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh kerana semasa kejadian mangsa berumur lapan tahun dan sebagai abang, dia sepatutnya menjaga serta mendidik adiknya yang masih kecil dengan perkara yang baik, bukan bertindak sedemikian.
"Akta Kanak-Kanak masih terpakai kepada tertuduh kerana semasa kejadian tertuduh berumur 18 tahun dan mangsa masih lagi seorang kanak-kanak.
"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh dan dia perlu menjalani sesi kaunseling di dalam penjara selain berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman,” kata Julaila. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram