
SELEPAS dikecam gara-gara mengeluarkan kenyataan menyamakan kaum wanita dengan barang, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim tampil mempertahankan perkara itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi di Terengganu itu berkata, penggunaan perkataan barang yang dimaksudkan itu bukan merujuk kepada wanita, sebaliknya sekadar kiasan.
Menerusi hantaran dalam laman Twitter, Azman menyifatkan pihak yang mengkritiknya sebagai tidak memahami peribahasa, perumpamaan dan analogi.
Tangkap layar hantaran di Twitter Azman.
Pada masa sama, beliau turut memberi contoh peribahasa Melayu bagi menguatkan hujahnya.
"Bagai anjing dengan bayang-bayang maknanya orang yang tamak. Bukan (nak) kata awak anjing.
"Bagai anjing menyalak bukit maknanya kerja yang tak memberi kesan, bukannya kata awak anjing," jelasnya disusuli beberapa perumpamaan lain.
Terdahulu Azman dikecam gara-gara didakwa menyamakan wanita dengan 'barang' dan menilai kaum itu sebagai 'murah' atau sebaliknya berdasarkan keadaan ia dijual.
Azman yang juga Exco Terengganu itu berkata. sesuatu barang tersebut akan dianggap bernilai tinggi atau sebaliknya berdasarkan cara ia dibungkus.
Katanya, kaedah pembungkusan barang tersebut memainkan peranan dari aspek pemasaran.
Ia sebagai merujuk kes baru-baru ini, yang mana seorang wanita dilarang memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor untuk membuat laporan mengenai kemalangan jalan raya kerana memakai seluar pendek.
Membidas perkara itu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menggesa pihak polis supaya tidak bersikap seksis terhadap wanita dan menjalankan tugas mereka tanpa prejudis dan tanpa menilai seseorang dari pakaian mereka.
Mengulas lanjut, Azman berkata, sekiranya seseorang menganggap berpakaian terdedah sebagai lambang kemajuan dan kemodenan, maka ada makhluk ALLAH lain yang sudah lama lebih maju dan moden.
Tangkap layar hantaran Azman di Twitter.
Hantaran itu turut disertakan dengan gambar seekor lembu.
"Isu gini kena katok (kritik) keras sikit. Kereta kemek kemalangan, sapu dengan kertas tisu tak jadi. Ia bukan campur hak peribadi.
"Masa duduk di rumah sendiri itu hak peribadi kita. Bila keluar ke tempat awam, ada hak masyarakat lain yang perlu dihormati.
"Sebab itu negara perlu ada undang-undang dan etika. Ada kesopanan dan kesusilaan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram