SUDAH jatuh ditimpa tangga. Demikian peribahasa yang sesuai menggambarkan situasi seorang guru lelaki warga emas yang menerima dua kali nasib malang pada hari sama.
Guru tersebut mulanya kemalangan apabila terbabas dan terjatuh di jalan raya ketika menunggang basikal di Kaimur, dekat Bihar, India.
Ketika guru itu cuba menegakkan basikalnya, dia tiba-tiba diserang oleh dua anggota polis wanita yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Menerusi video tular, anggota polis itu bertindak memukul guru tersebut menggunakan cota kerana berang mangsa menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Mangsa bagaimanapun merayu supaya dirinya tidak dipersalahkan dan meminta anggota keselamatan itu melepaskannya, namun tidak diendahkan sebaliknya anggota polis terbabit terus memukul serta memarahinya.
Orang awam yang berada di lokasi kejadian hanya mampu berdiam diri dan tidak menghentikan perbuatan biadab anggota polis terbabit.
Menurut polis, mangsa yang dikenali sebagai Naval Kishore Pandey, 70 sudah menjadi guru selama 40 tahun.
Polis dalam satu kenyataan menegaskan, tindakan akan diambil ke atas dua anggota wanita terbabit.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengajar di sebuah sekolah swasta.
Difahamkan, mangsa menggunakan laluan sama pada setiap hari untuk pergi dan pulang dari tempat kerja. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram