'Kena lenyek macam ubi baru tahu', mat motor cari nahas, berlagak berani lalu bawah lori


  • Tular
  • Jumaat, 16 Sep 2022

Seorang penunggang motosikal menyelit secara berbahaya melalui bahagian bawah lori.

SEJAK kebelakangan ini di Malaysia sering terjadi kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kereta sehingga meragut nyawa.

Peribahasa alah bisa tegal biasa bagaikan sinonim dengan masyarakat tempatan memandangkan saban hari rakyat disajikan dengan berita kemalangan jalan raya menyayatkan hati.

Salah satu faktor utama peningkatan kes kemalangan di negara kita berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri dan masing-masing bertanggungjawab untuk mengelak kejadian itu.

Baru-baru ini tular satu video memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan cara berbahaya sehingga aksi tersebut menerima kecaman ramai di media sosial.

Video yang dimuat naik oleh @bardputra di TikTok, melihatkan seorang penunggang motosikal menyelit secara berbahaya melalui bahagian bawah lori.

Menerusi video berkenaan juga terdengar bunyi hon lori yang panjang, berkemungkinan kerana pemandu lori itu berang dengan aksi lelaki tersebut yang mampu membawa padah.

Tinjaun Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai mengecam tindakan lelaki itu yang dianggap boleh menyusahkan orang ramai sekiranya berlaku sebarang kecelakaan.

"Bila kemalangan nanti keluar berita, malang seorang penunggang motosikal maut cari rezeki digilis lori. Maka semua simpati," perli XavierNaxa.

"Kalau dah kena lenyek macam ubi nanti nak salahkan siapa pula?" jelas Nuriinmaisarah.

"Cari nahas betul, elok polis tahan dia cepat-cepat supaya jangan ada yang lain ikut buat trend lalu bawah lori," kata Norhisyam Hashim.

Tiada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kes itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram