SEHINGGA kini, kemunculan pihak tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan lesen palsu masih lagi dikesan dan perkara itu banyak ditawarkan di media sosial.
Malah, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), M Janagarajan juga mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa kad yang dikeluarkan itu tidak wujud dalam sistem mereka.
Beberapa warganet pula melihat pengeluaran lesen palsu ini menjadi pilihan kerana beberapa sebab.
Seorang warganet, Kamal Kamal berkata, harga menjadi sebahagian daripada sebabnya dan JPJ perlu memantau perkara tersebut.
"Kos ambil lesen mahal sangat. Kenapa JPJ tidak pantau perkara ini? Sebab itulah ramai yang tidak mampu nak ambil lesen terutamanya anak-anak yang masih belajar," katanya.
Orang ramai memperbaharui lesen memandu di JPJ.
Turut bersetuju, Roslan Jumaain berkata, proses untuk mendapatkan lesen memandu amata memerlukan jumlah kewangan yang tinggi.
"Permudahkan rakyat untuk mendapatkan lesen memandu. Untuk mendapatkan lesen itu memerlukan kewangan yang banyak. Kemudian waktu ujian memandu pula senang gagal. Setiap kali gagal, kos semakin meningkat," katanya.
Selain itu, Kamarul Zaini berkata, JPJ perlu memperhalusi semula kos untuk mengambil lesen kerana ramai yang sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan lesen palsu.
"Bila gagal, kita kena keluar lagi belanja dan kos ini makin meningkat sedangkan lesen palsu hanya perlu keluar wang sekali sahaja.
"Disebabkan itu mungkin ramai yang inginkan cara mudah walaupun terpaksa berbelanja lebih," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram