'Saya dikecam, diugut bunuh atas tuduhan tidak berasas' — Siti Bainun


Siti Bainun turut berkongsi perasaannya yang kecewa dengan tindakan Zurianty yang berkongsi video berkenaan.

PENGASAS pusat kebajikan Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang berdepan pertuduhan mendera penghidap sindrom Down dikenali sebagai Bella, memberitahu bahawa dia menerima cemuhan dan ugutan bunuh sejak kes itu menjadi tular.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata demikian di Mahkamah Sesyen turut berkongsi dia kehilangan punca rezeki apabila rumah kebajikan berkenaan diarah untuk ditutup.

"Tetapi, nasi sudah menjadi bubur. Saya sudah diarahkan untuk berdepan pertuduhan tidak berasas dan dikritik akibat tindakan Zurianty Sudin menyebarkan video Bella yang disunting.

"Dua petugas penyiasat pun tidak dapat memahami dengan jelas perkara yang dituturkan dalam rakaman dihasilkan Zurianty itu. Saya tidak faham mengapa mereka mengatakan tiada sebab untuk melihat dan mendengar video itu," katanya.

Siti Bainun berkata demikian ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi pada hari pertama prosiding bela dirinya pada Khamis.

Tambahnya, dia kehilangan segala hak dan perkara yang dimilikinya berikutan tuduhan tidak berasas sehingga menyebabkannya berada dalam ketakutan untuk menjalankan hidup seperti biasa.

"Ketika saya menerima rawatan di hospital, ada juga jururawat yang cuba membahayakan diri saya sehingga memaksa peguam saya masuk campur untuk memastikan keselamatan saya," katanya.

Siti Bainun berkata, jika Zurianty berniat mahu menyelamatkan Bella, wanita itu tidak perlu bertindak membabitkan ramai pihak menggunakan sentimen anak orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan perhatian masyarakat.

"Membantu Mona Din membangkitkan kemarahan netizen untuk membenci saya, sedangkan Zurianty tahu kesannya. Saya dihina dan dicemuh seluruh rakyat Malaysia yang tidak pasti akan kebenarannya," katanya.

Pada 24 November lalu, mahkamah mengarahkan Siti Bainun untuk membela diri ke atas dua pertuduhan mendera dan mengabaikan Bella selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Dia dikatakan melakukan serangan fizikal itu di sebuah unit kondominium sekitar Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram