Cubaan larikan diri gagal, warga asing suspek kes bunuh kena cekup di Batu Pahat


  • 112
  • Rabu, 25 Jan 2023

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

SEORANG lelaki warga asing berusia 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan susulan kematian seorang lelaki yang ditemui terbaring di atas jalan di Jalan Penjaja, Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8 malam memaklumkan seorang lelaki berusia 50-an dilihat tidak sedarkan diri di atas jalan raya.

“Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian kemudian mengesahkan lelaki itu meninggal dunia.

“Siasatan di kawasan sekitar kemudian menemui suspek yang cuba melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Suspek telah ditangkap oleh pegawai keselamatan di sekitar kawasan bangunan berhampiran dan diserahkan kepada polis, katanya.

Siasatan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kecederaan di kepalanya dan pemeriksaan CCTV berhampiran serta keterangan saksi mengesahkan telah berlaku pertengkaran antara kedua-duanya sebelum mangsa ditemui mati.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora, Batu Pahat untuk bedah siasat, manakala suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan reman,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram