Lulus serta merta RM400,000 baiki jeti runtuh di Semporna


  • Primer
  • Khamis, 02 Feb 2023

Kerajaan memberikan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membaiki jeti kampung yang runtuh di Pulau Pababag, Semporna, Sabah.

PERUNTUKAN segera sebanyak RM400,000 telah diluluskan untuk membaiki jeti kampung yang runtuh di Pulau Pababag, Semporna, Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menghubungi pejabat daerah Semporna bagi menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan.

Beliau berkata, langkah itu amat diperlukan memandangkan jambatan berkenaan menghubungkan pelajar dengan sekolah serta memudahkan penduduk kampung menjalankan aktiviti harian mereka.

“Kementerian telah menyerahkan surat perintah pelaksanaan kepada pejabat daerah Semporna untuk pembaikan segera jambatan dan jeti ini dengan peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM400,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, ketika kejadian yang berlaku pada 30 Januari lalu, beliau sedang mengadakan rangka lawatan ke Pitas, Kudat, Sabah untuk meninjau keadaan banjir dan dimaklumkan mengenai jeti dan jambatan runtuh tersebut ketika menjalankan tugas.

“Saya diberitahu terdapat 35 murid dan dua guru dari kampung berhampiran dan mereka sedang menuju ke SK Pababag pada kira-kira pukul 6.20 pagi ketika kejadian itu berlaku,” katanya.

“Saya berharap pembaikan jambatan dan jeti ini dapat dilakukan dengan cepat memandangkan lebih 151 pelajar dan 35 guru tadika serta penduduk kampung perlu menggunakan kemudahan itu,” katanya.

Dalam kejadian jeti runtuh itu, dua murid cedera ringan manakala selebihnya dibawa ke kawasan selamat oleh guru dan penduduk kampung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram