Sekat permainan lato-lato di sekolah, elak jadi senjata buli — PIBGN


  • Massa
  • Khamis, 02 Feb 2023

Lato-lato kini menjadi tumpuan dalam kalangan murid-murid. — Facebook

PERMAINAN lato-lato yang sebelum ini popular di Indonesia kini menjadi ikutan kanak-kanak hingga ada yang khuatir jika permainan itu memberi impak negatif.

Antara yang menyuarakan kebimbangan berkenaan lato-lato adalah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan.

Menurut Mohamad Ali, Kementerian Pendidikan perlu memantau dan mengambil tindakan berkenaan dengan permainan lato-lato yang dilihat lebih kepada membawa mudarat.

"Walaupun lato-lato itu ada manfaatnya, tetapi tidak kurang juga mudaratnya. Kes kemalangan telah terjadi dan tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa dalam kalangan murid-murid.

"Ia dikatakan dapat mengalih murid-murid daripada ketagihan gajet, namun kesan kepada psikomotor mereka tidak boleh diketepikan begitu sahaja," katanya.

Menurutnya, apa yang diharapkan ialah pemainan lato-lato ini dapat disekat daripada digunakan dalam kawasan sekolah.

"Tentunya perkara ini akan mengganggu ketenteraman bilik darjah, menjadi senjata kepada aktiviti buli yang akhirnya membawa kepada kemudaratan murid-murid," katanya

Sebelum ini, beberapa pihak berkaitan dengan pendidikan juga mengatakan rasa kurang senang dengan permainan lato-lato. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram