Peniaga kata rugi sebab Menu Rahmah, persatuan restoran minta kerajaan turun harga barangan mentah


  • Massa
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Menu Rahmah disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan. — Bernama

HIDANGAN Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh pasar raya Mydin baru-baru ini nyata mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat mahupun pengusaha restoran di serata negara.

Inisiatif itu disambut baik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) dan telah membabitkan lebih 15,000 premis menjual makanan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Kini, golongan miskin tegar dan mereka memerlukan boleh mendapatkan sajian makan tengah hari dan malam khas pada harga serendah RM4.90.

Namun, ada pihak berpendapat bahawa inisiatif itu secara tidak langsung telah mendatangkan kerugian kepada pihak tertentu dengan harga yang ditetapkan terlampau rendah dan tidak membawa pulangan modal bagi pengusaha restoran dan gerai jualan.

Tinjauan Majoriti di media sosial juga mendapati, ada segelintir penjual kurang bersetuju dengan pengenalan menu berkenaan.

haw

Menu Rahmah telah membabitkan lebih 15,000 premis menjual makanan di seluruh negara. — Gambar hiasan

Mengulas lanjut berhubung isu tersebut, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), Datuk J Suresh berpendapat, inisiatif itu masih lagi baharu diperkenalkan dan bukan semua pihak bersetuju dengan perkara itu.

"Tidak dinafikan, memang banyak yang terkesan dengan harga yang diperkenalkan dan tak semua pihak yang dapat untung.

"Atas budi bicara, ini semua untuk bantu pihak kerajaan sebab pihak atasan minta kami untuk bantu rakyat.

"Inisiatif ini boleh dikatakan sebagai projek CSR yang mana semua pengusaha restoran digalakkan untuk turut serta dalam pelan ini hanya untuk bantu golongan berpendapatan rendah.

"Mungkin ia masih lagi belum diterima oleh beberapa pihak, tetapi saya mengharapkan agar lama-kelamaan semua orang boleh akur dengan inisiatif ini," katanya kepada Majoriti.

Ditanya tentang isu kenaikan harga barangan yang dihadapi semua pihak, beliau menjelaskan bahawa satu perbincangan sudah diadakan dengan pihak kerajaan.

"Pihak kami ada bincang berkenaan penurunan harga barang mentah dan mencadangkan agar kerajaan sendiri perlu turun padang ke kilang pemprosesan barangan mentah untuk meninjau harga jualan secara pukal.

"Satu kertas kerja perlu dihasilkan untuk mengkaji semula kenaikan harga barangan mentah supaya pihak yang berkenaan tidak terbeban dengan situasi ini.

"Kami dah maklum kepada pihak kerajaan dan buat masa sekarang, semua yang dilakukan ketika ini adalah sebagai usaha untuk bantu rakyat dan kerajaan itu sendiri," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, berkata, pihaknya juga komited untuk memastikan semua pengusaha makanan di pasar rayanya di seluruh negara akan menyediakan Menu Rahmah, untuk tempoh tiga bulan dan diteruskan jika keadaan mengizinkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram