Rakyat persoal harga Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap, siap petik jenama lain lebih murah


  • Massa
  • Khamis, 02 Feb 2023

Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 30Mbps tanpa had data pada harga RM69/bulan.

SEPERTI yang dijanjikan sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan pakej baharu Jalur Lebar Tetap bertujuan menyediakan internet mampu milik bagi golongan B40, veteran, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 30Mbps tanpa had data pada harga RM69/bulan.

Menurut kenyataan rasmi pada Khamis, pelan jalur lebar B40 akan ditawarkan mulai Mac 2023 dan ia terikat dengan kontrak selama 24 bulan.

Beliau menambah, pelan RM69/bulan adalah 22 peratus lebih mampu milik daripada tawaran biasa di pasaran pada harga RM89/bulan.

Ini bermakna penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak 24 bulan.

Fahmi menambah, pakej jalur lebar mampu milik itu dijayakan dengan sokongan penyedia jalur lebar seperti Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, Time dan Astro.

Tambahnya, inisiatif itu bukan sahaja selaras dengan cita-cita mengurangkan beban rakyat tetapi juga sebagai petunjuk kerajaan prihatin terhadap keperluan dan kesejahteraan rakyat serta memastikan ketersambungan digital mampu milik selaras dengan Konsep MADANI Malaysia.

Screenshot 2023-02-02 at 21-55-24 Fahmi Fadzil Facebook

Tangkap layar Facebook Fahmi Fadzil.

Menerusi tinjauan Majoriti, rakyat rata-ratanya memberikan pelbagai pandangan mengenai Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap yang diperkenalkan kerajaan.

"Rasanya pelan Umobile lagi murah daripada pelan B40 ini, data laju-laju nak ke mana? Masuk kampung pun dah tak ada line," kata Syafiq Ismail.

"OKU yang sudah menggunakan pakej 30mbps RM89 adakah perlu kemaskini semula untuk menikmati penurunan kepada RM69 ini?" soal Muhamad Hafiz.

"RM69 itu bukan untuk B40, memang internet jalur lebar tapi RM69 sebulan untuk internet bukannya target market B40," ujar Fahmi Jamal.

" Syabas YB Fahmi Fadhil, berkhidmat untuk rakyat, YB tolong tengok sama kadar sewa Astro boleh diturunkan, kadar sekarang membebankan rakyat," ujar Roslan Husin.

Sebelum ini, Fahmi mengumumkan pelan Prabayar Pakej Perpaduan yang akan memberikan kelajuan 3 kali ganda pada separuh harga dan ia disasarkan kepada B40, warga emas, veteran dan orang kurang upaya.

Pelan itu pada asasnya adalah naik taraf Pakej Remaja Keluarga Malaysia sebelum ini yang kini datang dengan dua kali ganda tempoh sah serta tambahan 10GB sebulan.

Butiran penuh pelan Prabayar Pakej Perpaduan masih belum didedahkan dan dijangkakan syarikat telekomunikasi akan memberikan maklumat lanjut pada bulan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram