Lelaki selamba 'ride' Ducati di KL tanpa helmet diburu polis


  • 112
  • Khamis, 02 Feb 2023

Tangkap layar video seorang penunggang motosikal tidak memakai topi keledar.

GARA-GARA menunggang motosikal berkuasa tinggi di sekitar ibu kota tanpa memakai topi keledar, seorang lelaki kini diburu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum ini tular sebuah video memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal jenis Ducati Hypermotard di jalan raya tanpa memakai topi keledar.

Berdasarkan video berdurasi 11 saat itu jelas menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal berkuasa tinggi itu dengan laju dan membawa secara berbahaya.

JSPT dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan satu kesalahan bagi sesiapa yang tidak memakai topi keledar dan sedang mengesan pemilik motosikal itu.

"Tular di media sosial satu video yang berdurasi 11 saat memaparkan seorang penunggang motosikal yang menunggang dengan tidak memakai topi keledar.

"Kesalahan ini adalah di bawah kaedah 4, Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.

"JSPT sedang mengesan alamat pemilik motosikal dan meminta penunggang motosikal tersebut supaya hadir ke Balai Trafik berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

JSPT turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang trafik dan meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai kejadian tersebut.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menghubungi mana - mana Balai Polis Trafik yang berdekatan dengan kadar segera.

"Nasihat JSPT kepada penunggang motosikal, patuhi peraturan jalan raya. Pemakaian topi keledar semasa menunggang bukanlah untuk menyusahkan diri namun ia adalah untuk keselamatan diri penunggang itu sendiri," jelasnya.

Perbuatan seperti ini tidak seharusnya menjadi ikutan tetapi ia dipaparkan supaya orang ramai berhati-hati dalam apa juga keadaan dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram