Aktivis, penduduk Segari cuba halang aktiviti korek pasir haram 'ditahan' 3 jam


  • Tular
  • Khamis, 02 Feb 2023

Tangkap layar video pergaduhan insiden membabitkan wakil syarikat dan penduduk kampung serta aktivis.

DIKURUNG selama tiga jam begitulah pengalaman pahit yang perlu ditempuhi sekumpulan aktivis alam sekitar, penduduk setempat dan polis apabila melakukan tinjauan di kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang di Segari, Lumut, Perak.

Insiden itu berlaku apabila wakil syarikat yang menjalankan aktiviti menggorek pasir di situ menghalang laluan masuk kerana tidak puas hati dengan tindakan mereka yang dianggap menceroboh kawasan itu.

Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, syarikat terbabit menghalang laluan masuk ke kawasan itu menggunakan jentera berat sehingga menyebabkan kumpulan yang bersamanya termasuk polis tidak boleh keluar.

"Mereka tutup laluan guna bulldozer, kami tak boleh keluar dan mereka kata akan tahan kami sehingga peguam sampai.

"Tindakan kami dikatakan telah menceroboh tanah persendirian dipercayai kepunyaan pemilik syarikat berkenaan," katanya pada Majoriti.

Jentera berat yang menghalang laluan keluar masuk.

Tambahnya lagi, ketika dalam 'tahanan', berlaku kekecohan apabila wakil syarikat bertindak kasar terhadap kumpulan yang masuk ke kawasan itu.

"Semasa dalam tahanan, mereka kata nak tahan kami selama lima jam sehinggalah semuanya selesai.

"Mereka juga meminta kad pengenalan kami, namun atas nasihat polis tidak membenarkan kami menyerahkan kad pengenalan kerana mereka tiada hak.

"Polis turut menyuruh kami selesaikan secara elok dengan pihak syarikat," jelasnya.

Pantai

Keadaan semasa pantai yang didakwa dirosakkan akibat aktiviti mengorek pasir.

Menurut Ismady, selepas beberapa kali berbincang bermula ketika ditahan pada pukul 12 tengah hari, akhirnya dibebaskan tiga jam kemudian iaitu sebaik selesai sidang media.

"Tinjauan ke kawasan itu dilakukan selepas mendapat aduan nelayan dan pemeriksaan di pejabat tanah mendapati aktiviti menggorek pasir di situ dijalankan tanpa sebarang permit.

"Malah setahun yang lalu ada media melaporkan pejabat tanah telah mengeluarkan arahan menghentikan operasi korek pasir di kawasan tersebut," ujarnya.

Sebelum ini, tular sebuah video yang dikongsikan pengguna media sosial di mana seorang lelaki mendakwa kumpulan aktivis dan penduduk tersebut menceroboh ke kawasan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram