Pasangan mat salih minta sedekah lagi di Bukit Bintang, DBKL tolak laporan minta adu ke imigresen


  • Tular
  • Khamis, 02 Feb 2023

Tangkap layar video memaparkan dua warga asing dipercayai pelancong meminta sedekah di Bukit Bintang. — Agensi

TULAR di media sebuah video yang memaparkan pasangan warga asing meminta sedekah di tepi jalan di depan Public Bank Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menerusi video tersebut, pasangan itu duduk di bawah payung sambil menutup muka menggunakan pelitup muka.

Pasangan itu turut meletakkan kotak yang ditulis 'makanan and ticket pulang' untuk meraih simpati orang ramai menderma duit.

Ini bukan kali pertama pasangan ini ditangkap meminta sedekah dengan menggunakan modus operandi sama.

Malah, pada 17 Januari lalu, seorang pengguna media sosial juga telah memuat naik gambar pasangan itu di Bukit Bintang dengan kadbod kecil yang bertulis 'wang untuk makanan dan tiket pulang'.

Sementara itu, individu yang memuat naik video pasangan itu menggunakan nama Michellelanious memaklumkan, laporan telah dibuat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Namun, DBKL menolak laporan tersebut ke dan meminta pengadu untuk memanjangkan aduan tersebut kepada pihak imigresen.

Sementara itu, imigresen dalam kenyataan balas terhadap aduan tersebut memaklumkan yang maklumat tersebut telah disalurkan ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur pada Rabu untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram