Ajak isteri orang buat hubungan seks, suspek menyamar polis dicekup dengan kondom di Pendang


  • 112
  • Rabu, 01 Feb 2023

Suspek ditahan dalam satu serbuan di hadapan sebuah premis di Taman Sri Pendang, Pendang, Kedah. — Gambar hiasan

SEORANG lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan melakukan jenayah samun serta cabul, ditahan dalam satu serbuan di hadapan sebuah premis di Taman Sri Pendang, Pendang, Kedah pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Aariz Sham Hamezah berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 petang selepas seorang lelaki mendakwa menjadi mangsa penipuan suspek yang merampas telefon bimbit dan mencabul isterinya.

"Mangsa mendakwa suspek yang menunggang motosikal seorang diri telah menghampirinya ketika sedang membaiki kereta seorang rakannya yang rosak di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

"Suspek kemudiannya telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kepada mangsa dan rakannya sebelum meminta kad pengenalan kedua-dua lelaki berkenaan untuk semakan dan merampas telefon bimbit milik mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Aariz Sham berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Kedah sekiranya mahu mengambil telefon bimbitnya semula, sebelum beredar.

"Bagaimanapun, suspek telah menghubungi isteri mangsa melalui telefon bimbit milik mangsa sebelum memberitahu bahawa suaminya berada dalam tahanan polis. Suspek mendakwa kononnya dia boleh melepaskan mangsa dan mengajak wanita itu untuk berbincang di sebuah kawasan perumahan.

"Bimbang dengan perkara itu, wanita berkenaan telah berjumpa suspek dengan menaiki kereta dan sebaik tiba di lokasi perjumpaan, suspek telah masuk ke dalam kereta dan meminta wanita berkenaan untuk terus memandu,” katanya.

Beliau berkata, suspek disyaki mengambil kesempatan dan mengajak wanita itu untuk melakukan hubungan seks, namun ia ditolak sehingga menyebabkan suspek berang dan kemudiannya mencabul isteri mangsa.

"Mangsa dan isterinya yang sedar mereka ditipu oleh suspek telah membuat laporan polis berhubung kejadian dan susulan daripada itu sepasukan anggota polis berjaya mengesan dan menahan suspek. Dalam serbuan itu, polis turut merampas beg dan kotak hitam yang berisi dadah jenis syabu, kondom dan telefon bimbit.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu pada 30 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 170 KK dan Seksyen 392 KK,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram