Tiada lesen memandu, warga Bangladesh cuba sogok polis RM100


  • 112
  • Ahad, 29 Jan 2023

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

CUBAAN seorang buruh warga Bangladesh menyogok anggota polis dengan wang RM100 untuk melepaskan diri, membawa padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Sabtu.

Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu menyogok wang kepada anggota polis sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memandu kereta tanpa lesen ketika pemeriksaan dilakukan.

Berikutan tindakan itu, anggota polis kemudian menyerahkan lelaki itu ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya pada kira-kira 2 petang pada Khamis sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

Lelaki itu direman tiga hari hingga Selasa ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya Azizul Ahmad Sarkawi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kes seumpama itu merupakan iktibar kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya memberi rasuah kepada mana-mana pihak penguat kuasa bagi tujuan melepaskan diri daripada kesalahan jenayah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram