Dua sindiket aktif 3 bulan ‘terciduk’, polis KL rampas dadah lebih RM200,000


  • 112
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Polis turut merampas barang kemas bernilai RM15,000, wang tunai RM870 dan Toyota Camry bernilai RM 40,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM261,870. — Bernama

POLIS menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di ibu kota dengan penahanan lima lelaki tempatan serta merampas lebih 17 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan ganja yang dianggarkan bernilai RM206,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 29 hingga 34 tahun ditahan dalam operasi berasingan di sekitar ibu kota sejak Rabu lepas sehingga Khamis.

Azmi berkata, dalam operasi pertama Rabu lalu di Taman Cannaught, Cheras, Kuala Lumpur polis menahan empat lelaki yang membawa kepada penemuan heroin seberat 12.3kg dianggarkan bernilai RM191,000 di dalam sebuah kereta di taman permainan kanak-kanak berhampiran.

"Operasi kedua esoknya, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di tepi Jalan San Peng, Kuala Lumpur pada 12 tengah hari dan merampas ganja seberat sekilogram.

"Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penemuan ganja seberat lima kilogram di sebuah bilik simpanan alat pemadam api bomba di sebuah perumahan awam di jalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Azmi, tiga daripada suspek yang ditahan, positif dadah jenis ganja dan kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Katanya sindiket berkenaan aktif sejak tiga bulan yang lepas dan menjadikan kenderaan serta bilik simpanan alat pemadam api sebagai stor dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Semua dadah yang dirampas diperoleh daripada pembekal di sekitar Lembah Klang dan dipercayai untuk pasaran di sini (Kuala Lumpur),” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas barang kemas bernilai RM15,000, wang tunai RM870 dan Toyota Camry bernilai RM 40,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM261,870.

Katanya, semua suspek direman sehingga 1 Februari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

IPKKL, Azmi Abu Kassim, dadah, ganja, heroin