BARU sahaja mengumumkan kehadiran pemain import baharu, Ayron Del Valle kini Selangor dikaitkan dengan perpindahan seorang bintang yang pernah bermain di dalam La Liga (Sepanyol).
Pemain yang dikaitkan dengan Selangor itu adalah bekas pemain Real Betis, Felipe Gutiérrez yang kini menjadi ejen bebas.
Sebelum ini beberapa media tempatan melaporkan pihak pengurusan Selangor sedang memburu tonggak import terakhir bagi melengkapkan slot pemain asing bagi mengharungi saingan liga musim ini.
Menurut seorang pengguna Twitter, Ismael Wong, pihak pengurusan Gergasi Merah sedang mengatur langkah membawa masuk pemain itu sebelum jendela perpindahan tutup.
"Difahamkan pasukan Gergasi Merah sedang menyusun percaturan membawa masuk seorang attacking midfielder yang pernah beraksi di La Liga Sepanyol.
"Pemain kelahiran Amerika Selatan itu dikhabarkan pernah mewakili pasukan kebangsaan dalam Copa America," katanya.
Felipe Gutiérrez pernah bermain di La Liga dengan mewakili Real Betis. — Agensi
Individu yang paling masuk akal ialah Felipe Gutiérrez memandangkan dia tidak mempunyai kelab dan pernah mewakili negaranya, Chile dalam kejohanan dalam Copa America.
Siapakah Felipe Gutiérrez yang disebut-sebut bakal sertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe ini?
Felipe Gutiérrez merupakan seorang pemain tengah yang berpengalaman luas di Eropah dan Amerika Selatan.
Memulakan karier bola sepaknya bersama CD Universidad Católica di Chile, Gutiérrez berjaya menampilkan aksi yang baik sehingga menarik minat kelab dari Belanda, FC Twente untuk membawanya ke dunia bola sepak Eropah.
Selepas itu Gutiérrez mengembangkan karier bola sepaknya bersama kelab Real Betis di Sepanyol sebelum dipinjamkan ke kelab Brazil iaitu Internacional.
Tamat tempoh pinjaman bersama Internacional, Gutiérrez kembali ke Real Betis sebelum dilepaskan secara percuma ke kelab Amerika Syarikat, Sporting Kansas City.
Sejak 2018 Gutierrez berulang alik mewakili kelab lamanya CD Universidad Católica dan beberapa kelab di Amerika Syarikat sehingga tahun ini dilepaskan oleh CD Universidad Católica.
Musim lalu Gutierrez mewakili CD Universidad Católica di Chile. — Agensi
Gutierrez boleh bermain di pelbagai posisi tengah iaitu nombor lapan, enam mahupun duduk dibelakang penyerang.
Sepanjang kariernya bergelar pemain bola sepak, Gutierrez sudah melakukan 359 penampilan dan menjaringkan 60 gol serta 44 assist.
Manakala bersama skuad kebangsaan Chile, Gutierrez berjaya melakukan 35 penampilan dan empat jaringan gol.
Kejayaan terbesar Gutierrez apabila berjaya membantu Chile menjuarai kejohanan Copa America pada 2015.
Juan Muniz (kiri), Oscar Arribas (tengah) dan Nuha Marong (kanan) pernah bermain di Liga Sepanyol sebelum menyertai Liga Malaysia.
Jika Gutierrez pemain yang disebut-sebut bakal ke Selangor, dia menjadi pemain import keempat yang pernah beraksi di Liga Sepanyol menyertai Liga Super musim ini.
Sebelum ini, dua bintang Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Juan Muñiz dan Óscar Arribas pernah beraksi di Liga Sepanyol.
Manakala pemain import Kelantan, Nuha Marong turut pernah beraksi di Liga Sepanyol dan mewakili skuad remaja kebangsaan negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram