Komen rasis terhadap penyanyi India, polis buka kertas siasatan


  • 112
  • Khamis, 02 Feb 2023

Seorang wanita didakwa mengeluarkan kenyataan rasis terhadap penyanyi India baru-baru ini.

POLIS menjalankan siasatan terhadap kes orang wanita memuat naik video beserta kapsyen berbaur perkauman di media sosialnya ketika Konsert AR Rahman berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung video yang dimuat naik oleh pengguna @fatinamyralee itu sekitar pukul 5.15 petang, pada Selasa.

“Ekoran laporan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Turut sama, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zam Halim, sehingga kini percakapan saksi telah dirakam dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian tersebut.

Justeru itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram