Bukan saja di Nilai tapi Puchong, Puncak Alam dan Semenyih antara 'lubuk' pendatang haram


  • Massa
  • Khamis, 02 Feb 2023

Perkampungan haram di Nilai yang turut menempatkan sebuah sekolah digempur Jabatan Imigresen pada Rabu. — Facebook

SERBUAN Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di petempatan haram di Nilai, Negeri Sembilan pada awal pagi Rabu benar-benar membuka mata orang ramai berkenaan lemahnya penguatkuasaan dalam negara.

Ini kerana, petempatan haram warga asing itu sudah ada sejak dua tahun lalu dan pihak berkuasa turut menemukan sebuah sekolah yang dibina penduduk di situ.

Susulan serbuan itu, warganet mula mendedahkan beberapa lagi kawasan yang dijadikan warga asing sebagai petempatan haram mereka.

Seorang warganet, Syahril Faizal AS berkata, di Semenyih, Selangor juga terdapat beberapa tempat yang sudah menjadi perkampungan warga asing.

"Harap tali barut yang bersekongkol bagi kemudahan serta perlindungan kepada PATI diberikan hukuman maksimum," katanya.

Nadia Adnan pula berkata, di Puncak Alam, Selangor juga ada perkampungan PATI malah siap ada kedai runcit.

Setuju dengan kenyataan itu ialah Asraf Yaacob yang berkata, dia pernah masuk ke perkampungan PATI yang siap dikawal seseorang.

"Dapat tahu daripada mereka sendiri yang ramai di perkampungan itu tidak mempunyai pasport, tetapi kerja kontrak di perumahan berdekatan.

"Mereka dah lama berkampung di situ dan dilindungi. Siap ada surau, kedai runcit dan tempat berjudi," katanya.

Seorang lagi warganet, Ejoi Klanong berkata, di Bukit Puchong bersebelahan dengan Taylor School juga sudah bertahun-tahun ada perkampungan Parti.

"Siap ada bekalan elektrik dan air. Boleh bela ayam itik dalam tanah kerajaan Jabatan Pertanian kalau tak silap. Macam mana pematuhan undang-undang dibuat?" soalnya.

Selain itu, Muhammad Zurki Zurbid turut mendedahkan yang di Langkawi, Kedah juga sudah jadi perkampungan PATI dan berharap pihak berwajib ambil tindakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram