Gara-gara leka bersembang, penunggang motosikal dirempuh Proton Saga di Bayan Lepas


  • Tular
  • Ahad, 29 Jan 2023

Tangkap layar video detik-detik penunggang motosikal dirempuh dari belakang ketika leka bersembang.

GARA-GARA berhenti dan leka bersembang di tepi jalan, seorang penunggang motosikal dirempuh sehingga tercampak ke jalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Kemalangan tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Menerusi rakaman video itu dapat dilihat pada mulanya keadaan jalan sangat tenang sebelum pemandu tersebut melintasi dua orang penunggang motosikal yang berhenti di tepi jalan dan sedang leka bersembang di arah jalan bertentangan.

Namun secara tiba-tiba seorang pemandu yang memandu kereta jenis Proton Saga dari arah bertentangan merempuh salah seorang penunggang motosikal itu.

Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal tersebut melambung dan terjatuh daripada motosikal.

Difahamkan video berdurasi 19 saat itu dipercayai berlaku berdekatan kawasan perumahan Kota Nibong di Pulau Pinang.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai tidak bersetuju dengan tindakan dua penunggang motosikal itu yang sesuka hati berhenti dan bersembang di tepi jalan.

"Dekat rumah tak nak sembang, tepi jalan juga dia nak pilih bersembang," kata Mazrul Mazlan.

"Yang kena langgar itu macam perempuan, semoga mangsa cepat sembuh," jelas Harun Latip.

"Pemandu itu mesti tak tengok depan sebab kereta dia bawa perlahan sahaja, harap penunggang motosikal itu dalam keadan yang baik," ujar Umar Hakeem.

Setakat ini masih belum dapat diketahui keadaan mangsa.

Perbuatan penunggang terbabit tidak seharusnya menjadi teladan tetapi ia dipaparkan supaya orang ramai berhati-hati dalam apa juga keadaan dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram