Menangis sujud syukur, DNA tak dikenali pada tuala dan sikat punca ibu tunggal terlepas hukuman gantung di Melaka


Mahkamah Tinggi Melaka turut membebaskan Huda Humairah (tengah) daripada empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah dan racun. — Bernama

SEORANG ibu tunggal menangis dan sujud syukur apabila terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Melaka membebaskannya atas dua pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 1.6 kilogram pada Rabu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu terhadap Huda Humairah Liang Moi Yin, 43, yang juga ibu kepada empat orang anak.

"Selepas meneliti dan mengambil kira laporan forensik dan analisis DNA pada sikat dan tuala, bukan saja DNA tertuduh dan orang kena tuduh, tetapi terdapat individu lain yang tidak dikenali hasil uji kaji dijalankan.

"Tuala dan sikat yang dijumpai dalam tandas di kondominium tersebut adalah bersambung dengan bilik yang dijumpai dadah tersebut. Didapati juga beberapa orang dan set kunci yang ditemukan mempunyai akses ke bilik utama berkenaan," kata Anselim.

Mahkamah turut membebaskan wanita itu daripada empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah dan racun.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati Huda Humairah bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah seberat 20.25 gram dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkap pada 13 Oktober 2018.

Penjual buah itu didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di kawasan meletak kenderaan dan di sebuah unit apartmen di Pinggiran Bunga Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan; Seksyen 12 (2) ADB dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Perbicaraan bermula pada 15 September 2020 dengan 19 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilarif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Quek Kia Ping. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram