Tak bagi kerja, suruh jaga ibu sakit punca lelaki hempuk isteri


  • 112
  • Ahad, 29 Jan 2023

Tangkap layar insiden pergaduhan melibatkan sepasang suami isteri di Gua Musang yang tular di media sosial baru-baru ini.

TIDAK membenarkan isteri bekerja kerana suruh menjaga ibu dipercayai menjadi punca seorang lelaki memukul seorang wanita dengan topi keledar di depan sebuah kedai makan di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Kejadian yang tular dalam media sosial itu dipercayai berlaku ekoran salah faham kerana suspek tidak mahu isterinya bekerja dan menyuruh mangsa menjaga ibu yang sedang sakit.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 petang pada Sabtu.

Kata beliau, suspek ditahan di sebuah rumah di RKT Kesedar Paloh 2, Gua Musang.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah, namun ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis Methaphetamine.

“Siasatan juga mendapati wanita berusia 35 tahun itu adalah isteri kepada suspek dan mengaku memukul wanita itu menggunakan topi keledar.

“Suspek mendakwa, berlaku perselisihan faham kerana dia tidak membenarkan isterinya bekerja dan menyuruh mangsa menjaga ibunya yang sedang sakit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Choon Foo memaklumkan, suspek direman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, polis turut merampas topi keledar berwarna merah yang digunakan untuk memukul wanita tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jumaat lalu, polis mengesahkan tiada sebarang laporan diterima berhubung kejadian tular membabitkan seorang lelaki memukul wanita di tepi jalan dekat Lebuhraya Kota Bharu-Gua Musang, Paloh 2, Kelantan.

Sebelum ini Majoriti pernah melaporkan tentang satu kejadian yang memaparkan seorang lelaki memarahi serta memukul seorang wanita dipercayai isterinya tanpa segan silu di tepi jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram