Penduduk Kepong angkat YB Lim jadi hero, sanggup tawar RM500 buru suspek khianat kereta


  • Tular
  • Ahad, 29 Jan 2023

Sebuah kenderaan milik seorang wanita menjadi mangsa perbuatan khianat.

SEORANG penduduk Kepong mengangkat Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, sebagai wira apabila beliau dilihat berusaha untuk mencari individu yang melakukan perbuatan khianat ke atas kereta milik seorang wanita baru-baru ini.

"Terima kasih YB kerana menjadi sebahagian daripada hidup kami, anda adalah hero sepanjang masa.

Saya dari Taman Pusat Kepong, mewakili penduduk di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan semoga tuhan sentiasa merahmati anda," kata Christina Shantha.

Ia susulan kenyataan Lip Eng yang menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat bagi membantu penangkapan suspek.

"Saya ingin menawarkan ganjaran sebanyak RM500 kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat untuk menahanan suspek dalam perbuatan khianat ini," katanya pada Sabtu di Facebook.

Tangkap layar Facebook Lim Lip Eng.

Difahamkan polis kini sedang memburu seorang lelaki selepas disyaki terlibat perbuatan khianat ke atas sebuah kereta yang ditinggalkan di kawasan parkir terbuka di Taman Pusat Kepong pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 27 tahun itu meletakkan keretanya di hadapan sebuah rumah kedai pada pukul lebih kurang 1 pagi.

Katanya, semasa mangsa ingin mengambil kereta kira-kira pukul 9 pagi, dia mendapati tayar keretanya tiada angin manakala terdapat sebuah tong sampah besar berwarna hijau dan beberapa botol arak serta sampah sarap diletakkan atas kenderaan terbabit.

“Nombor pendaftaran kereta dicabut, manakala cermin penumpang bahagian kanan diconteng perkataan ‘no park’ menggunakan cat hitam.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang suspek lelaki berkeliaran di kawasan berhampiran dipercayai melakukan perbuatan khianat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Eng Lai, usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03 40482222.

“Motif kejadian masih dalam siasatan. Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar RM500.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan melakukan khianat yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun,”jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram