ORANG ramai dikejutkan dengan tragedi letupan sebuah loji gas di Pondok Kelapa, Jakarta Timur, Indonesia pada Jumaat malam.
Ketika kejadian, api kelihatan marak dan kebakaran itu menyebabkan rata-rata penduduk panik dan berlari menyelamatkan diri masing-masing.
Susulan insiden itu, sebanyak 18 trak bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan api tersebut.
Ketua Kampung Pondok Kelapa, Rasikin berkata, pada mulanya dia menjangkakan bahawa api tersebut berpunca daripada pembakaran sampah.
"Tiba-tiba berlaku satu letupan kuat, ternyata ia bukan pembakaran sampah tetapi loji gas asli itu yang terbakar," katanya.
Dalam pada itu, beberapa lagi anggota bomba diarahkan ke lokasi berkenaan berikutan api semakin marak.
Operasi pemadaman api dimulakan pada pukul 7.32 malam oleh pegawai bomba dari Duren Sawit dan keadaan mula terkawal sekitar pukul 7.45 malam dengan pihak bomba mula melakukan proses penyejukan supaya tiada titik panas ataupun asap api yang tertinggal.
Tragedi itu mengakibatkan keseluruhan bangunan tersebut musnah namun tiada maklumat lanjut dilaporkan berhubung jumlah kerugian dialami oleh syarikat loji gas berkenaan setakat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram