'Join us', Gerakan tak ambil masa lama pelawa KJ


  • Primer
  • Sabtu, 28 Jan 2023

Khairy Jamaluddin dipecat oleh Majlis Tertinggi Parti Umno pada Jumaat. — Bernama

GERAKAN merupakan parti pertama yang membuat pelawaan secara terbuka kepada Khairy Jamaluddin susulan pemecatan beliau daripada Umno pada Jumaat.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen berkata, Khairy merupakan calon yang sangat sesuai untuk parti itu.

“Majlis Tertinggi Umno telah memutuskan untuk memecat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana melanggar disiplin parti akibat kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15.

“Pada saya, keputusan majlis itu tidak wajar kerana Khairy seorang ahli politik yang berkaliber dan berjaya memberi tekanan kepada lawannya di Sungai Buloh pada pilihan raya lalu.

“Majoriti yang dimenangi calon PKR dikurangkan daripada 10,000 kepada 1,000, membuktikan ia satu-satunya kubu kuat Pakatan Harapan yang hampir kalah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Wong menambah, Khairy merupakan mangsa dalam pilihan raya lalu kerana sentimen buruk terhadap Barisan Nasional namun Pakatan Harapan akhirnya bergabung dengan Barisan untuk membentuk sebuah kerajaan.

“Malah, ini tidak sepatutnya berlaku kerana Khairy terbukti merupakan antara menteri yang paling cemerlang semasa era Covid-19.

“Keputusan ini tidak adil untuk Khairy,” katanya.

Sementara itu, Wong mengalu-alukan Khairy menyertai Gerakan.

“Kami percaya bahawa dalam situasi karier politiknya yang merudum ketika ini, kami boleh menyokongnya.

“Ideologi parti kita berteraskan kesederhanaan dan dengan kredibiliti yang dimilikinya, saya yakin ini akan memberi nafas baharu kepada Khairy.

“Walaupun Khairy memainkan isu perkauman, pengundi Melayu di Pulau Pinang tidak diberi perhatian secukupnya semasa beliau masih menjadi Ketua Pemuda Umno, tetapi kami sedia memaafkannya kerana kami sedar kita semua manusia, manusia mesti melakukan kesilapan.

“Saya yakin dan percaya Gerakan adalah platform yang sesuai untuk Khairy buat masa ini,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Umno memulakan proses pembersihan partinya selepas memecat Khairy dan ahli majlis tertinggi, Tan Sri Noh Omar.

Nama lain yang dihukum termasuk bekas naib presiden dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung selama enam tahun.

Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan; bekas Exco Pemuda, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya; bekas Exco Negeri Johor dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang serta bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Shariff turut digantung selama enam tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram