SEORANG wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) dikepung dan ditahan beberapa individu selepas disyaki mencuri duit Terminal Bas Kulai, Johor baru-baru ini.
Berdasarkan rakaman video kejadian yang tular, wanita tersebut dipercayai mencuri ratusan ringgit daripada salah satu kaunter jualan tiket bas di terminal berkenaan.
Dalam rakaman itu, beberapa individu bertindak mengepung sambil menyoal siasat suspek.
Malah ada juga individu yang dilihat bertindak kasar terhadap suspek walaupun dia tidak melawan.
Namun individu yang berkongsikan video tersebut Iyda Jame berkata, mereka tidak berkasar namun terpaksa memegang suspek dengan kuat selepas dia mengeraskan badan.
"Kami tidak berkasar dengan dia, tapi dia yang keraskan badan dia untuk orang pegang lagi kuat," katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial dalam ruang komen mendakwa suspek sebelum ini mempunyai rekod jenayah dan berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.
"Perempuan ini memang asal dari Seremban, selalu duduk depan Maybank berhampiran Pasar Besar Seremban.
"Dia memang ada rekod sebab suka pecah cermin kereta dan curi duit.
"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) nak bantu tapi dia tolak," kata Abd Murad Sufian.
Menurutnya, wanita tersebut bukan OKU dan dia dipercayai terkenal di seluruh Seremban kerana aktiviti meminta sedekah.
"Boleh tanya orang Seremban, memang famous sampai ke kereta dia minta duit.
"Masalahnya dia bukan OKU tapi itu cara dia cari duit, bila orang tak nak bagi dia akan ikut sampai ke kereta," ujarnya.
Kes dipercayai selesai kerana suspek memulangkan duit kepada pekerja kaunter jualan tiket namun amaun wang dicuri masih belum diketahui.
Perbuatan ini tidak seharusnya menjadi teladan tetapi ia dipaparkan supaya orang ramai berhati-hati dalam apa juga keadaan dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram