Maszlee mohon maaf, akui kontroversi drama Kudeta


  • Primer
  • Ahad, 29 Jan 2023

Maszlee melakonkan watak Perdana Menteri dalam drama bersiri terbitan Astro itu.

BEKAS Menteri Pendidikan, Maszlee Malik membuat permohonan maaf secara terbuka susulan penggunaan bahasa tidak elok ketika berlakon dalam drama bersiri Kudeta.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya,dia menyedari akan kesan atas perkara itu, lebih-lebih lagi kepada kaum wanita.

"Secara peribadi, saya mengakui kekhilafan dan kesilapan kerana melakonkan watak Perdana Menteri jahat di penjara yang menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya yang mengganggu kesejahteraan emosi dan minda semua.

"Saya juga berterima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan teguran, ingatan, nasihat sama ada secara peribadi mahupun umum," tulisnya pada Ahad.

Drama Kudeta terbitan Astro turut dibintangi Vanidah Imran, Adlin Aman Ramli dan Aqasha merupakan drama televisyen arahan Imran Sheik dan Kroll Azry.

Terdapat babak di mana Maszlee menggunakan dialog yang kurang senang didengar menimbulkan kecaman di sosial media kerana ia disifatkan sebagai satu penghinaan kepada kaum wanita.

"Saya juga berharap pihak Astro boleh menapis babak tersebut demi menghormati sensitiviti ramai pihak.

"Saya juga mengajak rakyat sekelian untuk menonton siri drama Kudeta di Astro yang merupakan drama Melayu yang julung kali berunsur politik, thriller dan aksi. Banyak yang boleh dipelajari selain babak lima saat yang kontroversi tersebut," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Maszlee Malik, Kudeta, Astro, Drama, Pendidikan, Wanita