Ketua Menteri Sabah mahu pelihara penempatan kaum Murut


  • Primer
  • Ahad, 29 Jan 2023

Hajiji menegaskan laporan sedang cuba didapatkan daripada beberapa jabatan negeri.

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan pihaknya akan melihat kepada kesusahan yang dihadapi penduduk kaum Murut selepas perkampungan asal mereka diceroboh sebuah syarikat yang hendak menjalankan projek pembangunan di Sabah.

Menurut beliau, setakat ini, satu laporan sedang cuba diperoleh daripada Jabatan Perhutanan Sabah serta Jabatan Tanah & Ukur Negeri atas perkara tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Kami akan memastikan hak kaum Murut dipelihara," katanya selepas melancarkan Parti Gagasan Rakyat Sabah di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.

Ulasan itu dibuat sebagai satu jawapan kepada rayuan penduduk Kampung Salung dan Kampung Balantos yang mengatakan perkampungan asli mereka sedang berdepan ancaman pencerobohan daripada Unit Pengurusan Perhutanan (FMU).

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Basusah Anturi berkata, dia sudah diberikan beberapa notis untuk meninggalkan kawasan tersebut meskipun sudah menetap sejak kecil lagi.

Berdasarkan laporan sebelum ini, FMU sudah mengambil alih kawasan penempatan itu dengan kerja-kerja penebangan pokok sudah mula dilakukan.

Tambah penduduk kampung itu, perkampungan mereka sudah mula diambil jabatan tersebut pada 1997 dengan beberapa usaha dan aduan sudah dibuat terhadap Ketua Menteri Sabah sejak 2013.

"Apa yang kami harapkan daripada kerajaan ialah untuk membantu kami mendapatkan semula tanah warisan kami. Ia merupakan hak nenek moyang kami dengan adanya tapak perkuburan dan tanaman," kata salah seorang wakil kaum itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram