[VIDEO] Suami hentak isteri pakai helmet sebab tak kasi duit di Gua Musang, masing-masing belum repot polis


  • 112
  • Sabtu, 28 Jan 2023

Tangkap layar insiden pergaduhan melibatkan sepasang suami isteri di Gua Musang yang tular di media sosial baru-baru ini.

SUSULAN video tular memaparkan keganasan seorang suami terhadap isteri yang dipercayai berlaku di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung klip video kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, klip video berdurasi 1 minit 47 saat itu telah dimuat naik di Facebook pada Khamis lepas.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut.

"Hasil siasatan polis, kejadian itu dikatakan berlaku di Lebuhraya Kota Bharu-Gua Musang dekat Paloh 2, Kelantan namun tiada sebarang maklumat boleh dipastikan.

"Tarikh dan masa kejadian juga tidak dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu.

Choon Foo berkata, semua Ketua Polis Balai diarah untuk mengesan suspek berdasarkan individu dan tempat kejadian dalam video tersebut.

Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan seorang wanita hanya menahan kesakitan dan tidak melawan apabila dimarahi, ditampar serta dipukul dengan topi keledar oleh seorang lelaki.

Berdasarkan komen di media sosial, suspek yang dipercayai suami wanita terbabit dikatakan bertindak sedemikian terhadap mangsa kerana berang tidak diberikan duit.

Sekiranya anda melihat atau berhadapan dengan situasi berkenaan, sila dapatkan bantuan daripada pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital dan badan bukan kerajaan (NGO). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram