PASARAN getah Malaysia dijangka mencapai paras yang tinggi lagi minggu depan jika hujan berterusan, berikutan aktiviti menoreh dan memungut getah akan terus terhalang oleh cuaca hujan yang tidak menentu, kata seorang peniaga.
Bekas Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low berkata, pengeluaran yang lebih buruk akibat hujan mungkin mencetuskan lebih banyak aktiviti menyimpan stok dan permintaan kerana peniaga dan penyimpan stok mungkin tidak mempunyai stok yang mencukupi untuk mengharungi musim hujan yang berpanjangan.
"Hujan yang berterusan minggu lepas di wilayah pengeluar getah membantu menaikkan harga dan permintaan getah," katanya.
Sementara itu, pemulihan yang berterusan ditambah dengan industri dan pasaran buruh yang kembali bekerja selepas cuti Tahun Baharu Cina yang panjang akan membantu meningkatkan harga getah dan permintaan yang stabil.
"Kami akan melihat aktiviti dalam kedua-dua segmen getah basah dan kering kerana industri yang menggunakan kedua-dua jenis getah kembali rancak pada hari-hari dan bulan akan datang. Harga minyak yang tidak menentu mungkin mempengaruhi harga dan permintaan juga," katanya.
Pada Jumaat, harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat kepada 625.0 sen sekilogram, paras tertinggi sejak November 2022.
Seorang peniaga lain berkata, pasaran dijangka aktif minggu depan dengan kembalinya peniaga China.
Beliau berkata, harga akan menjejaki prestasi ringgit, pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah penanda aras.
"Pengendali pasaran juga akan memantau keputusan mengenai dasar kenaikan kadar faedah oleh bank pusat utama minggu depan seperti Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Bank Pusat Eropah dan Bank of England untuk mendapatkan petunjuk seterusnya mengenai prospek ekonomi global," katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah diniagakan lebih tinggi, menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau dan peningkatan dalam harga minyak mentah penanda aras di tengah-tengah ketiadaan peniaga China disebabkan cuti Tahun Baharu Cina.
Berasaskan mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 meningkat 22 sen kepada 625 sen sekilogram daripada 603 sen sekilogram Jumaat lepas manakala lateks pukal naik 15.5 sen kepada 536.5 sen daripada 521.0 sen sekilogram sebelumnya.
Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada 616.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 539.0 sen sekilogram. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram