Pasaran getah ke arah trend menaik minggu depan


  • Bizz
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada hari Isnin 26 Disember sebagai cuti gantian Hari Krismas.

PASARAN getah Malaysia dijangka didagangkan dalam julat yang ketat dengan kecenderungan menaik minggu depan di tengah-tengah keadaan cuaca buruk di negara pengeluar yang boleh menjejaskan pengeluaran.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low berkata, hujan yang berterusan di wilayah pengeluar getah akan membantu melonjakkan harga dan permintaan getah.

"Kawasan pengeluar getah utama ketika ini dilanda hujan yang tidak henti-henti dan beberapa bahagian ladang getah turut dinaiki air.

"Ringgit yang lebih rendah berbanding dolar AS turut menyokong harga getah kerana ia menjadikan komoditi itu lebih murah kepada pembeli asing,” katanya kepada Bernama.

Dalam satu nota berasingan, beliau berkata, kenaikan mendadak kes Covid-19 di China serta ketidaktentuan yang berterusan di Eropah boleh dijadikan sebagai peringatan amaran kepada perniagaan bahawa dunia akan mengambil sedikit masa untuk pulih dan ini boleh menghalang permintaan untuk komoditi itu.

Seorang lagi peniaga pula berkata, harga getah tempatan akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar AS dan penanda aras harga minyak mentah di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat untuk kelembapan ekonomi global.

Pada masa yang sama China dilihat sedang bergelut dengan lonjakan Covid-19 yang besar selain kebimbangan yang semakin meningkat terhadap dasar monetari yang ketat dan agresif AS.

Bagi minggu yang baru berakhir, beliau berkata, Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 merosot mendadak berikutan petunjuk yang lebih lemah daripada niaga hadapan getah serantau kerana sentimen global dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global dan kebangkitan semula kes Covid-19 di China.

Namun begitu, kerugian selanjutnya berjaya disekat oleh kenaikan harga minyak mentah penanda aras, tambahnya.

Pada asas mingguan, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 turun 45.5 sen kepada 562.5 sen sekilogram (kg) daripada 608.0 sekg pada Jumaat lepas, manakala lateks pukal meningkat 12 sen kepada 482.0 sekg daripada 470.0 sen sekg sebelum ini.

Pada 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 ialah pada 558.0 sen sekg manakala lateks pukal pada 483.0 sen sekg.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada hari Isnin 26 Disember sebagai cuti gantian Hari Krismas. Ia akan dibuka semula pada hari Selasa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram