SEORANG wanita disyaki melarikan wang perniagaan milik suaminya berjumlah RM520,000 ditahan polis dalam satu serbuan yang dijalankan di Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Christopher Patit berkata, suspek berusia 35 tahun itu diberkas susulan laporan polis oleh suaminya yang mendakwa wang tunai dalam peti besi simpanannya hilang.
"Pada 4 Januari lepas kira-kira pukul 6.30 petang, pengadu berusia 37 tahun pulang ke rumahnya di Permatang Pasir, Alai, Melaka dari Kuala Lumpur untuk memeriksa dua peti besi di tingkat dua dan tiga, sebelum mendapati wang tunai rutin perniagaannya telah tiada.
"Jumlah wang tunai dalam kedua-dua peti besi itu dianggarkan lebih kurang RM520,000 dan terdapat juga wang tunai lain yang tidak dapat dipastikan jumlahnya serta barang kemas milik emak pengadu,” katanya dalam satu kenyataan.
Christopher berkata, pengadu yang menjalankan perniagaan pinjaman wang berlesen memaklumkan tiada kerosakan pada peti besi tersebut dan mengesyaki isterinya mencuri wang tunai daripada peti besi tersebut.
Beliau berkata, hasil soal siasat dijalankan, suspek yang mempunyai masalah dengan suaminya itu tidak mengaku terlibat dengan kes berkenaan selain turut membuat laporan polis bagi menafikan pembabitanya dalam perkara itu.
"Suspek mengatakan dia telah memulangkan RM280,000 iaitu separuh daripada jumlah wang tersebut kepada ipar yang baik dengannya di stesen minyak dekat Semabok, Melaka dan iparnya juga turut membuat laporan berkenaan penerimaan duit tersebut.
"Namun, suspek difahamkan tidak memulangkan baki wang tersebut dan menyebabkan kes itu diteruskan.
"Susulan tangkapan dilakukan, wanita tersebut mengaku tidak memulangkan wang dan mengatakan ia hanya dokumen simpanan tetap sahaja bukannya wang tunai,” katanya.
Christopher berkata, polis turut merampas telefon pintar jenama Iphone 12 Pro Max dan suspek direman dua hari hingga Jumaat, namun telah diikat jamin.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram