Kes dadah, salah laku antara punca 8 anggota polis Johor dibuang kerja tahun lalu


  • 112
  • Khamis, 26 Jan 2023

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

SERAMAI lapan anggota polis negeri ini dikenakan tindakan buang kerja atas pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tahun lepas, kata Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Beliau berkata, tiga daripadanya terlibat dengan kes dadah, salah laku (tiga), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (satu) dan jenayah (satu).

"Selain itu, tujuh anggota pula dikenakan tindakan gantung kerja, manakala 67 anggota dikenakan tindakan tahan kerja.

"Tidak dinafikan masih ada anggota yang tidak mematuhi disiplin dan kurang berintegriti, sehubungan itu menjadi tanggungjawab semua peringkat dan menyelia segelintir mereka yang tersasar daripada landasan pasukan," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Khamis.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan seramai 14,655 individu atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan 4.3 tan dadah bernilai RM14.6 juta.

Terdahulu, beliau menyampaikan surat penghargaan kepada tujuh petugas media termasuk dua wartawan dan seorang jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Shaidathul Suhana Ros, Nur Fatin Mohmad Kadenen dan Shaifuldin Ahmad.

Penghargaan itu bertujuan menghargai peranan dan sumbangan media dalam menyampaikan maklumat serta melaporkan kejayaan dicapai Polis Johor.

Pada masa sama, Kamarul Zaman turut menyampaikan Pingat Penghargaan Ketua Polis Johor kepada dua anjing Unit Anjing Pengesan (K9) IPK Johor kerana berjaya membantu menyelesaikan kes jenayah di negeri ini tahun lepas.

Anjing jenis German Shepherd, Jinuo dan seekor lagi jenis Belgian Shepherd, Ma'te, menerima penghargaan bersama pengendali masing-masing iaitu Sarjan Donny Henry dan Lans Koperal Carvin Maluni.

Jinuo yang berusia 12 tahun seberat 35 kilogram dan baru bersara, diberikan pingat penghargaan atas kejayaan mengesan dua dekoder kamera litar tertutup (CCTV) di dalam semak sekali gus membantu menyelesaikan kes samun.

Ma'te yang berusia sembilan tahun itu pula diberikan penghargaan kerana berjaya mengesan lokasi pembakaran pakaian individu yang terlibat dengan kes pembunuhan pada tahun lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram