Bot ronda karam dipukul ombak, 7 anggota tentera selamat


  • 112
  • Khamis, 26 Jan 2023

Anggota tentera diselamatkan bot ronda PGA Batalion 15 di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan, pada Rabu. — PDRM

TUJUH anggota tentera daripada Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) selamat dalam kejadian bot karam berhampiran Pulau Nunuyan dekat Sandakan, Sabah pada Rabu.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika bot ronda anggota berkenaan dipukul ombak besar di perairan pulau itu.

"Pada 25 Januari (Rabu), lebih kurang 10 pagi, bot ronda Viper 7 Markas ATB 2 dengan kekuatan tujuh anggota tentera bertolak dari Pulau Bakungan Kecil ke jeti Markas ATB 2 di Batu Sapi, Sandakan bagi tujuan pengisian minyak logistik dan kebajikan anggota.

"Bagaimanapun, pada kira-kira 11 pagi, ketika bot ronda itu tiba berhampiran laut Pulau Nunuyan, dipukul ombak besar dan menyebabkan ia (bot ronda) karam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Idris berkata, kesemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira 2.50 petang Rabu oleh sebuah bot ronda Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 dengan sebuah bot PSC 66, dan dibawa ke markas operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan untuk rawatan dan proses dokumentasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram