UMNO Bahagian Seremban menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan satu notis sudah dihantar kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan.
Ketua bahagian, Mustafa Salim berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang notis ataupun laporan berkaitan usul terbabit.
"Kita juga telah sebulat suara menyokong usul yang dibawa oleh perwakilan daripada Rembau yang mewakili Umno Negeri Sembilan supaya jawatan itu tidak dipertandingkan.
"Jadi, tak timbul isu kita tidak bersetuju dan saya nak tegaskan tindakan Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom itu adalah tindakan peribadi dia, bukannya mewakili Umno Seremban," katanya kepada media tempatan pada Sabtu.
Tambah Mustafa, pihaknya mengambil keputusan untuk menghormati keputusan parti yang sudah menerima sokongan daripada 90 peratus pewakilan, namun tidak menafikan wujudnya ada mereka yang tidak bersetuju.
"Tapi sebagai ahli parti, kita perlu akur dengan suara majoriti dan tidak sepatutnya bertindak sesuka hati menyatakan bantahan.
"Muhammad Fiqri itu pula hanya ahli biasa dan banyak terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) dan merupakan penyokong kuat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar," katanya.
Katanya, satu perbincangan akan dibuat bersama Biro Politik Seremban untuk mengambil tindakan terhadap Muhammad Fiqri kerana dia sepatutnya merujuk ketidakpuasan itu kepada Umno Bahagian Seremban, bukannya mengambil tindakan melulu.
Sebelum ini, media melaporkan dua ahli Umno Bahagian Kuala Nerus dan Seremban mendakwa Umno sudah melanggar Perlembagaan parti ketika Perhimpunan Agung (PAU). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram