Isu kompleks hal kesihatan perlu diselesaikan sebelum Sarawak ambil alih autonomi


  • Primer
  • Isnin, 23 Jan 2023

Dr Sim Kui Hian (tiga kiri) menyambut pengunjung pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Majlis Komuniti di Kuching, Sarawak.

ISU berkenaan peruntukan untuk operasi, peralatan dan tenaga kerja mesti diselesaikan sebelum Sarawak boleh mengambil autonomi kesihatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ini adalah isu kompleks dan harus dibincangkan secara terperinci oleh semua pihak berkepentingan.

“Kita mahu perbincangan menyeluruh supaya boleh menentukan parameter autonomi.

"Ia sangat kompleks dan tidak boleh dilakukan dalam masa sehari. Jika Kerajaan Persekutuan memberi kita autonomi, maka siapa yang akan mengambil kakitangan kesihatan? Bagaimana pula dengan perkara kawal selia seperti pengiktirafan ijazah perubatan?

"Semua ini perlu dibincangkan," katanya kepada media pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Masyarakat di Padungan, Kuching, Sarawak pada Isnin.

Dr Sim berkata, autonomi kesihatan dibangkitkan pada mesyuarat majlis tindakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, tetapi perbincangansecara mendalam masih diperlukan.

“Kita akan minta Premier (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) mempengerusikan mesyuarat dengan semua pihak berkepentingan yang berbeza.

"Peruntukan untuk operasi, peralatan dan tenaga kerja haruslah disatukan. Isu-isu ini perlu dibincangkan secara terperinci dan diselesaikan, jika tidak, kita tidak bersedia (untuk) autonomi," katanya.

Pada 7 Januari lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju untuk mengembalikan autonomi kesihatan dan pendidikan kepada Sarawak.

Beliau berkata, ini akan mengukuhkan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 dan butirannya sedang diusahakan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Dr.Sim, Sarawak, Kuasa Autonomi, MA63,