Hanya RM262, pampasan diterima pemuda dihempap pintu kabin roda Ferris 20kg bikin ramai bengang


  • Berita
  • Isnin, 23 Jan 2023

Sutthiwat mengalami luka di kepala dan lebam di seluruh badan selepas dihempap pintu kabin roda Ferris. — Agensi

SEORANG lelaki berdepan detik menakutkan selepas dihempap pintu kabin roda Ferris seberat 20 kilogram (kg) yang jatuh dari ketinggian 10 meter (m) baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku di salah sebuah festival di Wilayah Buriram, Thailand.

Mangsa, Sutthiwat Kruephimai berusia 21 tahun mengalami luka di kepala dan lebam di seluruh badan.

Pasukan penyelamat bergegas ke acara itu di daerah Lam Prai Mart untuk memberi pertolongan cemas kepadanya dan Sutthiwat bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Memetik laporan agensi antarabangsa Thaiger, Sutthiwat memberitahu media bahawa dia pergi ke festival itu bersama keluarga iaitu datuk, nenek dan seorang saudara berusia tujuh tahun.

Dia menunggu di kawasan berhampiran ketika nenek dan saudaranya menaiki roda Ferris.

Sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari kabin roda Ferris, Sutthiwat berkata, dia mendengar bunyi yang kuat di atas kepalanya.

Tidak beberapa kemudian, sebuah pintu jatuh dari langit dan menimpanya.

Kejadian tersebut menyebabkan semua keluarga Sutthiwat terkejut.

Sementara itu, pengendali roda Ferris tersebut, Natthapon Kloy-on, 38, berkata, dia bersedia bertanggungjawab sepenuh atas kecederaan mangsa dan memberi pampasan 2,000 baht (RM262) kepada Sutthiwat.

Natthapon turut menjelaskan dia juga tidak pasti bagaimana kejadian itu berlaku.

Menurut Natthapon, mungkin ada pelanggan membuka kunci pintu kabin semasa roda Ferris masih bergerak, sebelum ia melanggar struktur utama dan terjatuh.

Dalam perkembangan lain, pegawai tadbir daerah sudah menyiasat tempat kejadian dan mengarahkan setiap pemilik permainan di festival tersebut untuk lebih berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Kejadian itu menyebabkan warga tempatan tidak berpuas hati kerana berpendapat pampasan yang diterima Sutthiwat terlalu kecil berbanding bahaya yang dihadapinya.

Malah, pengendali roda Ferris itu juga tidak menghadapi sebarang pertuduhan kerana menyebabkan kemalangan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram